Kamis, 09 Desember 2010

Hadis-hadis janggal dari sudut logika dan norma-norma agama.

Sesiapa akhir ucapannya La ilaha illaLlah akan masuk syurga

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Barangsiapa akhir perkataannya adalah “La ilaha illallah” dia masuk syurga.[1]

Kejanggalan:

Adalah sukar untuk diterima bahwa semata-mata dengan ucapan “La ilaha illallah” seseorang itu akan masuk syurga. Bukankah dibalik ucapan tersebut ia wajib diikuti dengan hati yang menetapkannya, lisan yang membenarkannya dan perbuatan yang membuktikannya? Bagaimana dengan seseorang yang mengucapkan kalimah tersebut tetapi dia mengingkari/belum melaksanakan kewajiban sholat, puasa dan berbagai macam hukum syari‘at yang lain?

Penjelasannya:

Hadis di atas sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di zaman awal Islam di Kota Makkah. Berkata Ibn Syihab al-Zuhri (124H), seorang tokoh generasi tabi‘in: Hadis sebegini hanya ada pada permulaan Islam sebelum turunnya kewajiban-kewajiban dan larangan.[2] Yakni di zaman permulaan Islam di mana belum disyari‘atkan berbagai macam ibadah, kewajiban, larangan dan hukuman kecuali sekadar mentauhidkan Allah ‘Azza wa Jalla dan meninggalkan segala amalan syirik yang mereka praktikkan sebelum itu. Pada waktu itu mereka yang baru memeluk Islam diugut dan dipaksa agar meninggalkan Islam dan siapa saja yang enggan – mereka disiksa hingga ke tahap dibunuh dengan kejam. Ketika sedang diugut, disiksa dan sesaat sebelum dibunuh, tiada yang diucapkan oleh mereka kecuali “La ilaha illaLlah” – Tiada Tuhan selain Allah – secara berulang-ulang sehinggalah mereka dibebaskan atau sehingga maut menemui mereka.


Terhadap umat Islam inilah Rasulullah Shallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah “La ilaha illaLlah” maka dia masuk syurga dan memang benar bagi mereka adalah ganjaran syurga karena menegakkan ketauhidan Allah ‘Azza wa Jalla hingga akhir hayat mereka. Senada dengan hadis ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat berikut yang juga diturunkan di Kota Makkah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. [al-Ahqaf 46:13-14]

Adapun kedudukan hadis ini pada masa kini, maka berkata para ahli ilmu/ulama bahwa ia tetap sah diperlakukan. Siapa saja yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala secara yakin dan benar sehingga ke akhir hayatnya, syurgalah balasannya. Mentauhidkan Allah bukanlah sekadar perkataan tetapi adalah disertai hati yang menetapkannya, lisan yang membenarkannya dan perbuatan yang membuktikannya. Seandainya ada dosa-dosa besar, maka mereka akan diazab setimpal dengan kadar dosa masing-masing dan akhirnya tetap akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah Tabaraka wa Ta’ala.[3]


--------------------------------------------------------------------------------
[1] Sahih: Hadis dari Muadz bin Jabal radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Bazzar, al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir), al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman) dan al-Hakim, dinukil dan dinilai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 8965 dan dipersetujui sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 6479.



[2] -----: Dikeluarkan oleh Muhammad bin Isa al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, jld 4, ms 449 tanpa isnad. Saya berkata isnad athar ini telah diisyaratkan kedha‘ifan atau ketidak pastiannya memandangkan al-Tirmizi telah mendahuluinya dengan kata-kata: Dan sesungguhnya diriwayatkan dari al-Zuhri.... Qadi Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim bi-Fawa’idi Muslim (Dar al-Wafa’, Kaherah 1998), jld 1, ms 254 berkata bahawa ini adalah juga merupakan pendapat majoriti generasi salaf (yakni mereka yang hidup sebelum tahun 300H), di antaranya ialah Sa‘id ibn Musayab (94H), namun Qadi Iyadh juga tidak mengemukakan isnadnya. Oleh itu status riwayat ini penulis biarkan terbuka sehingga dapat ditemui isnadnya. Perbandingkan juga dengan Syarah Sahih Muslim al-Nawawi (Dar Ihia al-Turath al-Arabi, Beirut 2000), jld 1, ms 63.



[3] al-Tirmizi – Sunan al-Tirmizi, jld 4, ms 449. Antara sumber bacaan yang disyorkan dalam bab ini ialah buku Muhammad bin ‘Abdul Aziz al-Sulaimani yang berjudul Cara Mudah Memahami Tauhid (terj: Abu Ihsan al-Maidani; Pustaka al-Tibyan, Solo 2000).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar